Raja Segala Ketam
www.iluvislam.com
Hafez Iftiqar*
Editor:lailatulema
“Apa definisi manusia?” Soalan itu memeranjatkan saya. Semenjak saya bersahabat dengan Raja Ketam, itulah soalan yang paling sukar untuk dijawab saya. Mengerti, saya perlu jujur dalam menjawab soalan itu, tidak tergamak saya untuk menipu walau pun dia seekor ketam. Saya berfikir dalam-dalam kerana mahu menyusun kata yang terbaik. Bayu laut menyusup dicelah kekosongan yang sengaja saya biarkan. Setiap hujung minggu, saya sentiasa di sini, di pantai berpasir perang keemasan di sisi Selat Bass supaya dapat saya bertemu dengan Raja Ketam. Lagi pun, Raja Ketam akan hanya di sini dalam tiga bulan musim panas ini, bila cuaca suam-suam memasuki musim luruh, dia hilang entah ke mana-mana. Mungkin memantau koloni-koloni lain yang berkampung di sekitar Tasmania. Dia tidak mungkin ke mana-mana kerana berdasarkan pengetahuan saya mereka ini bukanlah seperti Robin yang akan hilang terbang ke kawasan yang lebih panas apabila sejuk mula menguasai benua ini.
Kebiasaannya, kami berdua akan berdialog sementara ketam-ketam bilis sebesar penumbuk budak tanpa jemu berlatih berjalan betul di atas pantai yang saujana di hadapan kami. Mereka sangat taat. Barang kali bimbang dikepit Raja Ketam yang penyepitnya itu sahaja sudah sebesar betis saya. Mungkin juga mahu mengambil hati Raja Ketam walau pun arahannya itu kelihatan mustahil. Raja Ketam memang gemar menimbulkan polemik yang tidak masuk akal, itu, latihan berjalan dengan betul merupakan polisi Raja Ketam sejak dahulu lagi. Setiap ketam yang mahu damai di perairan Tasmania ini wajib tunduk kepada polisi itu, berlatih berjalan betul. Saya songsong bayu laut, bergerak ke hadapan sedikit dan sekarang saya tegun betul-betul di depan Raja Ketam.
“Bermaksud khalifah yang jahil. Lebih dungu daripada haiwan.” Raja Ketam terkejut. Dua matanya yang terpacak seperti tiang konkrit di atas tanah laterit itu digerak-gerakkanya seolah tidak percaya itu akan menjadi jawapan saya. Dia menanti dengan gelisah ayat yang mahu keluar dari mulut saya.
“Tuhan dah tawarkan amanah kepada semua makhluk, semua tak mahu kecuali manusia. Terima amanah kemudian pecah amanah. Definisi kedua, sedia dihumban ke dalam api.” Dia jadi makin gelisah. Tangannya yang banyak itu sekejap-sekejap menggaru dada pasir.
“Akal penyelamat, tapi malas berfikir, lalu buat benda yang bukan-bukan. Definisi ketiga akal adalah manusia, kalau tak guna itu bukan lagi manusia, malah akan jadi lebih teruk daripada haiwan ternak.” Kali ini Raja Ketam tidak bergerak, seolah-olah disumpah menjadi batu oleh patah-patah kata yang keluar dari mulut saya.
“Pesan Tuhan lupa, janji sebelum lahir lupa, lepas lahir tak ambil peduli, lepas mati minta lahir semula. Pesan orang lupa, pesan sesiapa pun lupa. Definisi keempat manusia adalah makhluk nyanyuk.” Sambung saya dengan lebih tegas.
"dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya(ayat-ayat ALLAH SWT) dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya(bukti keesaan ALLAH SWT) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat ) mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi;mereka itulah orang yang lalai :
surah al-araf : ayat 179.
“Sudah!” Jerit Raja Ketam. Kali ini Raja Ketam tidak dapat lagi menahan kegelisahan di hatinya. Barang kali dia tidak perasan yang jawapan-jawapan itu saya kutip daripada ayat-ayat Tuhan yang menempelak sikap buruk manusia. Mungkin juga kerana selama ini dia menganggap manusia makhluk istimewa. Pernah suatu hari, dia meminta saya untuk mencarikan dia seorang gadis cantik di kalangan manusia untuk dijadikan isterinya. Katanya dia sudah lama membujang. Saya tidak pernah memandang serius permintaannya kerana bagi saya itu permintaan yang tidak masuk akal. Mana mungkin manusia boleh berkahwin dengan ketam. Perkara seperti itu adalah mustahil untuk berlaku. Sering kali apabila dihadapkan dengan perkara-perkara mustahil, saya akan berfikir dahulu, mengapa perkara semustahil itu dibangkitkan di hadapan saya. Mungkin juga Raja Ketam hanya berseloroh dengan saya. Mungkin.
“Yang ingin aku tahu adalah kebaikan manusia? Kamu tidak punya contoh yang baik? Yang boleh aku guna untuk aku jadikan teladan?” Tanya Raja Ketam yang saya kira tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya tadi.
“Pernah dengar nama Muhammad Bin Abdullah?” Soal saya kepada Raja Ketam. Kali ini dia kelihatan teruja. Tangannya yang banyak itu diangkat-angkat seolah-olah mahu menari dengan saya.
“Pernah-pernah! Dia rahmat seluruh alam. Aku tak adalah jahil sangat.” Kata Raja Ketam dengan nada ceria.. “Raja Ketam ini boleh tahan juga ilmu agamanya.” Bisik saya dalam hati.
“Itu definisi manusia sempurna. Alim yang merendah diri. Pemimpin yang miskin. Hamba Tuhan yang kaya. Panglima perang yang berhati halus. Hakim yang keras keputusannya. Suami yang lembut pergaulannya. Itu definisi manusia sempurna.” Raja Ketam kelihatan puas dengan jawapan saya.
“Pemimpin seperti saya?” Tanya Raja Ketam. Saya tidak tahu untuk menjawab soalan tersebut. Besar kemungkinan kerana saya bukanlah ketam atau ikan yang hidup di perairan Tasmania lalu membolehkan saya melihat kepimpinan Raja Ketam luar dan dalam. Lalu saya mengambil keputusan untuk menjawab soalan itu secara umum.
“Setiap kita pemimpin. Setiap kita akan ditanya tentang kepimpinan kita. Tuan boleh jawab sendiri. Hebat kita kerana menjaga amanah. Kita akan ditanya tentang amanah. Oleh itu kita perlu jujur dengan pemberi amanah. Kalau kita silap, kita rela sahaja ditegur, baik secara kasar atau halus, pokoknya, amanah itu sentiasa terbela. Seperti Umar yang rela dibetulkan dengan pedang.” Saya pasti kisah Umar itu juga mesra dengan Raja Ketam. Dia senyap. Saya membisu. Lalu sekali lagi damai bayu dan ombak berpapasan dengan hangat perbincangan kami. Raja Ketam seolah-olah berfikir panjang.
“Terima kasih.” Ucapnya. Saya mengukir senyum. Perbincangan tadi merupakan perbincangan sulung kami mengenai perkara seserius itu. Dia kemudian saya lihat menyendeng perlahan menuju ke gigi air. Kemudian diikuti oleh ratusan ekor ketam bilis. Tidak pula sempat untuk saya bertanya, akan lagikah dia mahu mengajar ketam-ketam bilis itu berjalan betul pasca perbincangan kami tadi. Lalu saya mengambil keputusan untuk menjerit sahaja dari tempat saya berdiri kepadanya yang sudah sedia mencecah air.
“Oi! Kepimpinan melalui teladan.” Dia melambaikan tangannya yang banyak itu kepada saya sebelum dia hilang diarak ombak.
p/s : artikel ini adalah di petik dari :
http://www.iluvislam.com/v1/articles.php?cat_id=6&rowstart=15
1 ulasan:
salam ukhuwah...
ana memohon kepada semua pengunjung yang mahu meninggalkan ulasan...tolong memberi ulasan tanpa menggunakan perkataan yang kesat,mencaci,memaki,mengaibkan dan sebagainya sesama kita umat islam...
Catat Ulasan
salam ukhuwah salam perpaduan...
di harapkan kepada sesiapa yang mahu meninggalkan ulasan tolong jangan masukkan unsur2 memaki,mencarut, memfitnah dan sebagainya.
wassalam