ALANGKAH hebatnya ALLAH
Tidak pernah rehat daripada bekerja,
berbuat dan bertindak
Setiap detik di dalam kesibukan
Mengadakan, mentiadakan
Menghidupkan, mematikan
Memuliakan, menghinakan
Menjatuhkan, menaikkan seseorang
Membangun dan meruntuhkan
Membaikkan dan merosakkan
Mengimankan dan mengkufurkan
Mengazab dan memberi nikmat
Memberi rahmat dan memberi nikmat
Mengkayakan dan memiskinkan
Menyusahkan dan menyenangkan
Dan entah apa lagi yang kita tidak dapat tuliskan
Daripada sekecil-kecil perkara
hinggalah sebesar-besar benda
Ia berlaku kepada semua jenis makhluk setiap masa
Tapi ALLAH tidak pernah letih dan penat
Tidak pernah sakit dan lesu
Tidak pernah jemu, perlu berhenti dan perlu rehat
Kerana ALLAH bukan fizikal yang dicipta
Ia adalah Khaliq pencipta
Dia adalah Zat yang Maha Suci lagi Maha Agung
Yang tidak hidup mengikut sistem makhluk
Yang tidak dapat dirupakan dan difikirkan
Hebatnya ALLAH, hingga tidak dapat dibayangkan
Hebatnya ALLAH, tidak ada penyerupaan
LIHATLAH KUASA ALLAH
DI DALAM DIRIMU
TIDAK payah kita memandang yang jauh
melihat Qudrat dan kuasa ALLAH
Juga tidak perlu melihat yang jauh baru terasa
Maha Mentadbir dan Maha Bijaksana ALLAH
Kalau jiwa kita hidup dan jaga
Di dalam dirimu sendiri
engkau akan merasakan Qudrat, Iradah ALLAH
Pentadbiran dan Bijaksana-Nya
Tidakkah engkau sedar,
mana engkau ada kuasa terhadap dirimu!
Adakalanya engkau hendak tidur mata tidak mahu
Ada waktunya engkau tidak hendak tidur
tapi tidak dapat menahan tidur
Adakalanya berlaku di dalam dirimu setiap hari
Gerak-gerimu berlaku tanpa engkau mahu
Bahkan adakalanya tanpa kesedaranmu
Contoh yang berlaku akalmu memikirkan sesuatu
Tapi di masa yang sama bergerak-gerak jarimu
tanpa kehendakmu
Juga di masa itu juga bergerak-gerak matamu
tanpa kehendakmu juga
Bukankah menunjukkan adanya kuasa yang melakukannya
Kalaulah kita ada kuasa tentu sekali
kehendak kita semuanya berlaku
Yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku
Tapi pengalaman kita tidak begitu
Ada yang kita kehendaki berlaku,
Ada yang kita kehendaki tidak berlaku
Ada yang kita tidak hendak, ia berlaku
Yang kita hendak, tidak berlaku
Kerana itulah ALLAH ada berkata yang bermaksud:
Di dalam diri kamu, mengapa kamu
tidak merasa dengan mata hati
Iaitu adanya kuasa ALLAH
di dalam dirimu
ENGKAU MAHA TAHU
YANG KECIL DAN BESAR
ALLAH! Engkau Maha Tahu yang kecil dan yang besar
Di dalam semua perkara dan benda
Terhadap apa jua jenis makhluk-Mu
Kerana Engkaulah yang menciptanya
Tapi pada-Mu kedua-duanya sama sahaja
Tidak ada beza di antara keduanya
Jika kecil Engkau sebutkan maka ia terjadi,
yang besar Engkau sebutkan pun terjadi juga
Tidak pula yang kecil rasa mudah
dan yang besar terasa payah dan susah
Tidak seperti makhluk-Mu yang lemah; membuat perkara
kecil mudah, membuat perkara besar susah
Walaupun di antara habuk dan gunung;
yang satu halus dan yang satu besar gagah
Namun Qudrat dan Iradah-Mu ALLAH, keduanya sama sahaja
Walaupun Engkau memberitahu manusia, langit dan bumi
Engkau jadikan selama enam hari
Bukan ertinya Engkau tidak boleh jadikan dengan sekelip mata
Bukan pula Engkau tidak boleh lakukan secara kun - jadilah
maka ia pun terjadi
Enam hari itu memang kehendak-Mu sendiri
Untuk didikan kepada manusia
Begitu juga jarak jauh dan dekat, Engkau tahu juga
Dan Engkau tahu ini dekat dan ini jauh
Tapi pandangan-Mu sama sahaja
Dekat dan jauh tidak ada beza apa-apa
Bahkan yang tersembunyi dan yang nyata
pada-Mu sama sahaja
Macam mana Engkau melihat yang jauh, begitulah juga
Engkau melihat yang dekat
Tidak seperti penglihatan makhluk
Melihat yang dekat dengan yang jauh ada bezanya
Yang dekat mudah dilihat, yang jauh susah dilihat
Maha Suci Engkau ALLAH
dan Maha Agung Engkau ALLAH
oleh:Ustaz Ashaari Muhammad
0 ulasan:
Catat Ulasan
salam ukhuwah salam perpaduan...
di harapkan kepada sesiapa yang mahu meninggalkan ulasan tolong jangan masukkan unsur2 memaki,mencarut, memfitnah dan sebagainya.
wassalam