oleh:Fathi Yakan
Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan
secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja.
Sebenarnya penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan ajaran Islam itu
sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran Islam serta
menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh
kerelaan.
Islam dari segi bahasa bermaksud selamat, sejahtera.
Islam dari segi istilah bermaksud "penyerahan" , atau penyerahan diri sepenuhnya kepada ALLAH swt.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala:
Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran)
ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran
perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi
keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78).
1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.
2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.
3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.
4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.
5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.
6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.
Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama
bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai
cara hidupnya.
Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung
di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w.
1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan
yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak
memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam
ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling
perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah
mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak
berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.
Firman Allah s.w.t:
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya
rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah
dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa
yang mereka sifatkan.
(Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)
2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah
mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana
mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu
mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat
memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci
melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah
s.w.t sendiri.
Firman Allah s.w.t:
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?
Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka
(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam,
lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai
Arasy yang mulia.
(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)
3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan
Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan
mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat
kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan
kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasulrasul
yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan
kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.
Firman Allah s.w.t:
Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu
menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima
seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang
berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian
lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasulrasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah
mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri
menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan
diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang
rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka
memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi
rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai
Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)
5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat
kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi
derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:
"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."
(Surah Al-Syura 42:Ayat 7)
6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan
dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun
demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan
dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula
tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam
batasan keizinan dan kehendakNya.
Firman Allah s.w.t:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk
mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya
kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang
sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan
sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu
susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
(Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)
Dan firman Allah s.w.t;
Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat)
yang dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).
bersambung.. .
wallahu'Alam. ..
0 ulasan:
Catat Ulasan
salam ukhuwah salam perpaduan...
di harapkan kepada sesiapa yang mahu meninggalkan ulasan tolong jangan masukkan unsur2 memaki,mencarut, memfitnah dan sebagainya.
wassalam